Quantcast
Channel: Kaunseling – Abahyasir.com
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4

Penawar Homoseksual

0
0

Beberapa bulan yang lepas saya pernah diminta oleh seorang teman lama bagi membantu rakan beliau yang mempunyai kecenderungan terhadap teman sejenis atau lebih dikenali kini dengan istilah ‘homoseksual’.

Sebenarnya trend homoseksual ini bukanlah satu fenomena baru, malah dalam Al-Quran pernah merakamkan perlakuan kaum Nabi Lut a.s. yang juga mempunyai kecenderungan yang sama. Gejala ini juga sudah semakin berleluasa di merata dunia, dan tidak ketinggalan ia turut melibatkan masyarakat Melayu-Islam di sini juga.

Dari sudut perspektif agama Islam, pelaku  homoseksual dilarang dengan keras dalam agama kita sama seperti Allah melarang perbuatan zina di antara lelaki dan wanita.

Sebenarnya apa yang ingin saya kongsi di sini nanti, juga boleh turut diaplikasikan sebahagiannya dalam mengawal hubungan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Langkah-langkah dan saranan di bawah ini ada antaranya pernah saya kongsi bersama dengan pengamal homoseksual atau lesbian dalam sesi kaunseling yang pernah saya kendalikan sebelum ini, dan ada antaranya sedikit sebanyak telah dapat memberi kesan pada diri mereka.

Langkah-langkah yang saya utarakan ini juga boleh digunakan dalam usaha kita membantu teman terdekat atau saudara kita yang ingin benar-benar berubah, atau apabila kita diminta oleh mereka untuk membantu golongan sebegini. Langkah-langkah tersebut ialah:

Pertama: Ubah Minda atau ‘mindset’

Langkah utama untuk keluar daripada lingkaran ini ialah dengan menukar minda atau mindset kita dari ‘tiada pilihan lain’ kepada ‘aku ada pilihan’ atau ‘aku boleh berubah’.

Jika kita sendiri tidak menukar mindset ini, maka sukar untuk sesiapa pun membantu kita dalam hal ini.

Kita juga perlu menukar salah tanggapan bahawa ia adalah naluri semulajadi dan tidak dapat dielakkan sama sekali. Jika kita anggap ia sebagai naluri semulajadi sekalipun, kita tetap perlu melawan hawa nafsu kita. Tidak begitu?

Keadaan yang sama juga berlaku terhadap hubungan sesama lelaki dan perempuan, mujahadah atau peperangan melawan hawa nafsu tetap diperlukan.

Malah, andai kata diberi alasan bahawa senarionya tetap tidak sama kerana lelaki dan perempuan boleh berkahwin. Ia juga bukan satu alasan yang konkrit, kerana selepas perkahwinan kita tetap perlu melawan nafsu syahwat apabila berdepan dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram.

Kedua: Mengamalkan Ibadah Puasa

Antara ibadah yang baik dilakukan bagi mengawal nafsu syahwat ialah dengan berpuasa. Inilah anjuran Baginda kepada pemuda yang ingin bernikah tetapi belum mampu.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan. (Hadis riwayat Imam Nasaa’i dan Abu Daud).

Puasa merupakan satu langkah pencegahan yang efektif bagi mengekang hawa nafsu. Ini kerana dengan berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota badan untuk beribadah selain dari mendidik jiwa dan mengurangkan nafsu syahwat.

Ketiga: Mengambil Pengajaran dari Kisah Kejayaan (Success story)

Sebenarnya terdapat banyak kisah-kisah kejayaan atau success story yang benar-benar berlaku pada mereka yang dahulunya seorang yang homoseksual tetapi berjaya berubah, berkahwin dan seterusnya memperolehi zuriat sendiri.

Pastinya ia tidak mudah, ia memerlukan kepada pengorbanan dan semangat untuk terus berubah dan percaya diri.

Namun yang paling penting, kita perlu bertanya pada diri kita, jika mereka mampu lakukan dan berubah, mengapa tidak kita?

Keempat: Menerima Bantuan Pakar atau Kumpulan Sokongan (support group)

Memandang isu yang dihadapi adalah serius, maka mendapatkan bantuan pakar psikologi merupakan satu pilihan bagi mengatasi isu yang dihadapi. Sebaiknya dapatkanlah bantuan dari pakar psikologi atau kaunselor yang mampu memberikan panduan dan perspektif dari sudut pandangan agama Islam.

Selain dari itu, bantuan dan sokongan moral daripada keluarga dan teman rapat yang dipercayai serta mengamalkan gaya hidup sihat juga amat diperlukan.

Teman rapat yang dimaksudkan ini ialah mereka yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan bisikan syaitan juga mampu membantu kita mengekang naluri yang tidak sihat, selain sebagai teman yang dapat membantu mengingatkan kita kepada Allah.

Penting untuk mereka yang dihampiri golongan ini atau sesiapa sahaja yang berdepan dengan golongan homoseksual ini agar tidak menghindari atau menyingkirkan mereka, tetapi tetap memberikan sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi.

Ini amat penting agar mereka mudah keluar daripada lingkungan teman-teman yang sealiran dengan mereka kepada teman-teman baru yang mampu memberikan motivasi dan perangsang; dan tidak kurang pentingnya, teman-teman yang percaya bahawa diri mereka boleh berubah.

Kelima: Langkah Pencegahan (Intervention)

Bagi mengelakkan terjerumus daripada perbuatan yang dikeji ini, sebaiknya perlu dilakukan langkah-langkah pencegahan dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa risiko bagi kita mengulangi perbuatan yang terlarang.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

– Pastikan tidak berdua-duaan dengan teman yang anda cenderung untuk melakukan perbuatan yang dilarang. Seperti tempat-tempat gelap, rumah yang tiada penghuninya atau di hotel.

– Pastikan sentiasa berteman (teman yang dipercayai dan ‘straight’) bila bersama dengan teman-teman yang berisiko.

–  Tidak berkongsi identiti kita sebagai pengamal atau bekas pengamal homoseksual dengan orang yang tidak dikenali, dikhuatiri ia akan mendedahkan kita pula kepada perkara yang tidak diingini, andai kata teman tersebut merupakan pelaku homoseksual yang aktif.

– Tidak melayan perasaan untuk berkenal-kenalan dengan teman sejenis yang diminati, ini kerana dari kenal mengenal akan membawa kepada hubungan melalui mesej peribadi, perbualan di telefon, pertemuan, sentuhan dan akhirnya tidak mustahil ia akan berakhir dengan hubungan seksual.

Keenam: Doa & Solat

Sentiasa mengamalkan zikrullah sama ada dengan bertasbih, bertahmid atau dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menyelami maksudnya.

Selepas apa yang kita lakukan dan usahakan, janganlah lupa untuk terus berdoa kepada Allah. Pintalah pada Allah agar diri kita dipermudahkan dari segala urusan dan beroleh kesejahteraan dan keselamatan.

Dekatkan perhubungan kita kepada Allah dengan melakukan solat Fardu lima waktu selain ibadah-ibadah lain agar diri menjadi tenang serta mendapat pertolongan Allah.

Pohonlah pada Allah dengan doa pada setiap penghujung solat kita seperti yang dianjurkan Nabi s.a.w.:

“Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah pertolongan bagi diriku untuk berzikir mengingati-Mu, memanjat syukur pada nikmat-Mu dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”. [Hadis riwayat Imam abu Daud]

Ketujuh: Sentiasa Bersikap Positif dan Tidak Berputus Asa

Tidak berputus asa, dan terus berusaha merubah dan melawan bisikan hati dan syaitan. Jika ia masih berulang, cubalah untuk bertahan dan mengamalkan apa yang telah disebutkan sebelum ini.

Gagal sekali, bukan bermakna seterusnya juga gagal. Percaya bahawa usaha yang dilakukan memerlukan masa untuk pulih dan berjaya. Kejayaan tidak datang sekelip mata.

Berdoa dan terus berdoa, mudahan Allah memberikan kita jalan keluar dan petunjuk dalam berusaha menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan akhir sekali, ingatlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu, dengan berkat kekuasaan Allah tiada apa yang mustahil bagi-Nya, andai sahaja kita tidak putus asa dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berubah.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 32, terbitan Telaga Biru, Malaysia.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 4

Latest Images

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Dari Slovenia ke Croatia

Sarapan Menu Slovenia

Sarapan Menu Slovenia

Sarapan Menu Slovenia

Sarapan Menu Slovenia

Trending Articles